Friday, 14 October 2011

Sifat orang fasik


  • Al-Baqarah, ayat 27-29: Sifat orang fasik

    Oleh DR ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY


    AYAT 27

    Allah menyebut beberapa sifat orang-orang fasik sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

    “Iaitu orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.”

    Antara sifat tersebut, iaitu “orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, yakni mereka yang melanggar apa yang dijanjikan kepada mereka oleh kitab-kitab samawi daripada beriman dengan Muhammad s.a.w atau memutuskan segala perjanjian yang kukuh daripada beriman dengan Allah, membenarkan dengan Rasul dan beramal dengan syariat. Ibn Jauzi berkata, “Ada tiga pendapat ulama mengenai maksud “perjanjian” itu, iaitu:

    (i)  apa yang dijanjikan kepada ahli kitab berhubung dengan sifat Muhammad      s.a.w dan wasiat supaya mengikutinya. Ini adalah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

    (ii)  apa yang dijanjikan kepada mereka tentang al-Quran. Mereka mengakuinya,     kemudian kufur dan melanggar perjanjian itu. Ini adalah pendapat al-Suddi.

    (iii)  iaitu perjanjian semenjak dikeluarkan zuriat Adam daripadanya lagi. Inilah      pendapat al-Zajjaj.

    Kemudian Allah menerangkan lagi “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya”, iaitu daripada hubungan silaturrahim dan kerabat. Lafaz ini adalah umum pada setiap pemutusan yang Allah tidak reda-Nya seperti memutuskan hubungan di antara nabi-nabi, memutuskan hubungan kaum kerabat dan meninggalkan kasih sayang serta hormat terhadap orang-orang yang beriman. Al-Samarqandi menaqalkan di dalam tafsirnya Bahr Al-Ulum, riwayat al-Dahhak dan Ata’ daripada Ibn Abbas katanya, “Sesungguhnya mereka disuruh beriman dengan semua nabi. Malangnya mereka beriman dengan sebahagian dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.” Inilah makna dan maksud firman itu.

    Sebaliknya, mereka melakukan perbuatan yang keji sepertimana firman Allah “dan membuat kerosakan di muka bumi“. Antara kerosakan tersebut ialah melakukan banyak maksiat, membuat pelbagai fitnah, menegah orang daripada beriman kepada Allah dan menyebarluaskan segala syubhat tentang al-Quran. Ibn Jauzi berkata, “Ulama berselisih pendapat pada maksud ‘kerosakan’ yang mereka lakukan di bumi, kepada tiga”, iaitu:

    (i)        seruan mereka kepada manusia ke arah kekufuran. Ini adalah pendapat Ibn Abbas.

    (ii)      amalan maksiat yang mereka lakukan. Ini adalah pendapat al-Suddi dan Muqatil.

    (iii)  mereka menyekat orang yang berhijrah kepada Nabi bagi menghalang       mereka memeluk Islam.

    Sebenarnya merekalah golongan yang disifatkan Allah sebagai “mereka itulah orang-orang yang rugi” kerana mereka yang bersifat demikian termasuk dalam golongan yang benar-benar rugi disebabkan mereka menukar kesesatan dengan petunjuk dan azab dengan keampunan. Justeru, jadilah neraka tempat yang layak bagi mereka.


    AYAT 28

    Ibn Kathir berkata, ”Allah berfirman dengan berhujah kewujudan-Nya dan kekuasaan-Nya. Juga Allahlah yang Maha Pencipta lagi Pelaku kepada sekalian hamba-Nya.”

    Allah mengemukakan persoalan sebagaimana firman-Nya:

    “Mengapa kamu kafir kepada Allah padahal kamu tadinya mati, lalu Allah hidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan?”


    Persoalan ini dimulakan dengan “mengapa kamu kafir kepada Allah” yang menunjukkan kehinaan dan ingkarnya. Ibn Jauzi menyatakan bahawa ada dua pandangan ulama berhubung dengan persoalan tersebut, iaitu:

    (i)           persoalan dengan makna takjub dan hairan bagi orang yang beriman dengan maksud hairan daripada kalangan mereka bagaimana mereka boleh kufur sedangkan telah sabit hujah Allah atas mereka. Ini adalah pendapat Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

    (ii)  persoalan keluar daripada bentuk pengakuan kepada celaan dengan maksud     celaka kamu. Mengapa kamu kufur dengan Allah?  Ini adalah pendapat al-Ajjaj.

    Seterusnya, mengapa kamu menentang dan derhaka kepada pencipta dan kamu ingkarinya sedangkan “padahal kamu tadinya mati, yakni daripada tiada hinggalah dibentuk air mani pada sulbi ayah dan rahim ibumu kemudian melalui proses “lalu Allah hidupkan kamu”, iaitu dengan dikeluarkan kamu daripada kandungan ibu lahir ke dunia. Tetapi ingatlah akan kesudahannya dengan   “kemudian kamu dimatikan”. Apabila sampai ajal, kamu akan dimatikan dengan apa jua keadaan sekalipun sebagai hukum dan sunnah alam ini.

    Seterusnya, “dan dihidupkan-Nya kembali”, iaitu dibangkitkan daripada kubur selepas berada di alam kubur atau barzakh beberapa ketika dan berlakunya kiamat. Akhirnya, “kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan” yang tujuannya adalah untuk memberi pembalasan yang setimpal. Bagi orang yang baik, diberi balasan baik dan sebaliknya orang yang derhaka, diberi balasan azab. Al-Samarqandi berkata, “Iaitu di akhirat, kamu akan diberi pahala dengan amalan kamu.”


    AYAT 29

    Al-Maghari berkata, “Selepas Allah menyebut beberapa tanda kekuasaan-Nya pada diri manusia dengan menyatakan permulaan dan kesudahan hidup, Dia menyebut juga beberapa tanda kekuasaan-Nya pada ufuk yang menunjuk tanda kekuasaan-Nya dengan segala sesuatu dan nikmat-Nya yang melimpah ruah kepada hamba-hamba-Nya dengan menjadikan segala apa yang di bumi sebagai tempat persediaan hidup untuk mendapat manfaat.”

    Al-Samarqandi menaqalkan daripada al-Kalbi, “Tatkala dinyatakan masalah bangkit selepas mati, orang Yahudi hanya diam kerana memahaminya sedangkan orang musyrikin pula berterusan mengingkarinya seraya bertanya, “Siapa yang mampu menghidupkan kami selepas berlakunya kematian?” Lantas Allah menurunkan firman-Nya:

    “Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit lalu dijadikan-Nya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

    Kemudian Allah menambahkan lagi keterangan bukti kebangkitan “Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang di bumi untuk kamu”  yang bermaksud Allah menciptakan  bumi dan segala apa yang ada supaya manusia dapat mengambil manfaat dengannya serta iktibar bahawa Allah bersifat Maha Pencipta lagi Pemberi Rezeki.

    Kemudian, “dan Dia berkehendak menuju langit”, iaitu Allah berkehendak dengan iradah-Nya menuju ke langit. Al-Nasafi berkata, “Istiwa’ di sini ialah dengan maksud iktidal dan istiqamah, iaitu qasad atau menuju juga hadap.” Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di berkata, “Terdapat tiga makna istiwa’, iaitu:

    (i)     kesempurnaan dan lengkap

    (ii)     tinggi dan atas

    (iii)  menuju

    Seterusnya, “lalu dijadikan-Nya tujuh langit” yang bermaksud Allah mencipta langit sebanyak tujuh lapis dengan penuh kehebatan dan kekuatan. Yang demikian, menjadi dalil kekuasaan yang amat nyata bagi Allah.

    Justeru, Allah bersifat “dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” yakni dengan kata lain, jika segala yang besarpun mampu Allah cipta, apakah untuk menghidupkan manusia kembali, perkara yang payah? Sudah tentu tidak kerana Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

    GLOSARI

    menaqalkan:  memindahkan percakapan atau pendapat

    • 2 people like this.
      • Lazin Rahman Sesuai dijadikan rujukan orang2 yang mengaku ISLAM...
        07 April at 17:24 · 
      • Lazin Rahman Yang penting ialah pendirian UMNO dan PAS... UMNO sokong HUDUD??
        07 April at 17:27 · 
      • Lazin Rahman Yang penting ialah pendirian UMNO dan PAS... UMNO sokong HUDUD?
        07 April at 17:29 · 
      • Lazin Rahman Yang penting ialah pendirian UMNO dan PAS... UMNO sokong HUDUD?
        07 April at 17:30 · 
      • Lazin Rahman WOW!!! Pejuang UNITED kembali dengan TINDAKAN DESPERADO apabila tertekan... KLON KEDUA untuk 2011 dan yang ke 10 keseluruhannya...
        HARAP MAKLUM.
        07 April at 18:35 · 
      • Cont Tool kahkahkah aku dah x tahan gelak dah
        07 April at 18:39 · 
      • Zamm Yusop sifat org2 fasik...merujuk pada surah al-maidah 44,45 dan 47...UMNGOK la tu....!!!
        07 April at 18:55 · 
      • James Wong PAS/ PKR TALK COCK ONL
        07 April at 20:40 ·  ·  1 person
      • Lazin Rahman II Janganlah kita bersifat seperti ini...
        08 April at 08:34 ·  ·  1 person

No comments:

Post a Comment